Episod 2: Perpisahan

Lalu sebagai meneruskan perjalanan yang semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz, aku diperjalankan ke dunia yang aku rasakan amat jauh dari kampung asalku. Aku tidak berdaya untuk pulang sebelum waktu yang ditetapkan oleh Tuhan. Melalui frasa peralihan penciptaan yang amat indah. Di dunia ini, aku dibekalkan rumah persinggahan yang melindungi dan aku diberi kuasa dalam urusan pentadbirannya dengan izin-Nya jua.
Rumah ini aku kenderai kemana sahaja mengikut kemahuanku. Kadang-kadang terasa diri ini tidak lagi bertuhan, kerana aku mampu sahaja berbuat apa sahaja. Aku mampu sahaja melaksanakan segala kemahuan dan keinginanku. Walaupun, aku sedar kadangkala perbuatanku tidak sepatutnya aku lakukan kerana nyata ia berdosa dan ditegah oleh Tuhan.
Di tempat yang baru ini juga, wujud satu keinginan yang amat memberontak dan mensesakkan jiwa-jiwa yang sebelum ini tenang sahaja menuruti perintah Tuhan. Keinginan ini menuntut untuk dipatuhi. Aku selalu menurutinya sehingga keinginan itu menganggap dirinya adalah raja dan ingin merampas takhta rumah persinggahan ini dariku. Aku sering bergaduh dengan keinginan yang mendesak itu dan juga kerap kali bertikam lidah dengannya dalam bahasa jiwa. Dia mahu itu, aku mahu ini... aku mahu ini, dia mahu itu. Serba tidak kena dan huru-hara dibuatnya. Ketika ini, aku rasakan amat perit perpisahan ini dengan segenap ujian datang dari segenap ceruk mendesak diriku untuk cari petunjuk dari Illahi.
Akan tetapi, bagaimanakah aku ingin meminta dan memohon pertolongan di dunia ini,sedangangkan dalam fikiranku Dia amat jauh nun di sana? Tidak yakinkah aku bahawa Dialah Tuhan sekalian alam dan Dia wujud tanpa tempat bahkan wujud di hamparan dunia yang indah ini walaupun tak seindah tempat asalku dulu. Bagaimana aku sanggup menganggap diriku tidak lagi bertuhan, sedang Dia sentiasa memerhatikanku dan aku tidak mampu maju selangkah pun tanpa izin-Nya!
Sungguh, diri ini masih mentah dalam menilai segala ketentuan Tuhan dan tidak mengambil pengajaran dari penciptaan diriku sebagain seorang insan di dunia ini. Aku terus meniti masa di dunia ini, belajar dan terus belajar dan juga mengenal dan terus mengenal. Dalam jangka waktu yang sama, rumah persinggahanku ini semakin matang dan meningkat usianya.


Perpisahan itu mengajar aku untuk pandai membawa diri akan aku tidak lemas dengan keinginan sia-sia lalu runtuhlah rumah persinggahan ini. Apalah nasibku nanti di penghujung cerita apabila binaan yang sepatutnya aku jagai musnah dan dimamah anai-anai. Aku memerlukan pandu arah dalam menjaga amanah ini agar ia tidak tersasar dan tidak melanggar perintah Tuhan.
Maka, telah ditakdirkan oleh Tuhan, aku mengenal ajaran Nabi dan ajaran itu sampai kepadaku. Ucapan syukur tidak terhingga hamba, apabila rumah persinggahanku ini telah dilengkapi dengan binaan yang kukuh untuk aku belindung dan meneruskan perjalan hingga sampai ke jalan menuju keredaan Tuhan.
Namun, aku mengerti akan lumrah penciptaanku sebagai insan bahawa segala benda tak akan datang dengan percuma dan senang tanpa usaha dan izin Tuhan. Aku ditakdirkan lahir di zaman yang amat jauh dengan Nabi di dunia ini. Hanya tinggal segala amanat serta ajaran untukku pelajari buat pedoman hidup. Ku teliti satu persatu kitab-Nya dalam mencari sinar pertunjuk. Kata pewaris Nabi yakni para ulamak, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta petunjuk dari Illahi. Juga katanya, Tuhan akan memberi cahaya petunjuk-Nya kepada sesiapa Dia kehendaki.

Aku tidak mahu rumah persinggahanku ini hanyut dibaham badai yang sentiasa rakus untuk menarikku ke lembah binasa. Aku tidak mahu Tuhan murka sama aku. Bahkan aku tidak mahu, diriku lupa akan Tuhan yang menciptakan aku dan memberi peluang aku untuk hidup. Akan gembleng segenap keringat tulang empat kerat dan segala saraf otak dalam memahami ajara Nabi. Semoga aku peroleh petunjuk dan balasan yang baik daripada usahaku yang tidak seberapa ini.

Comments

Popular posts from this blog

Kerinduan

Pencarian diteruskan

Tuhan...